MyHajj 
(14 Oktober - 26 November 2012)

Pada 14 Oktober 2012 bersamaan 28 Zulkaedah 1433, Jemaah Haji KT94 berkumpul di Kompleks TH di Kelana Jaya pada jam 9.00 malam di khemah yang dikhaskan oleh Wirasaujana Travels & Tour Sd. Bhd.
Jemaah bersiap sedia dengan memakai Ihram di Kelana Jaya.  Jemaah boleh berniat Umrah di Qarnul Manazil. 

(Kaabah)


Haji (Arab/Jawi: حج Ḥajj "ziarah") merupakan penziarahan raksasa yang dilakukan umat Islam di Makkah, Arab Saudi dan ia adalah antara penghijrahan yang terbesar di dunia. Merupakan tuntutan ke-5 yang wajib dilaksanakan seperti yang tertakluk dalam Rukun Islam, kewajipan agama ini hendaklah dilakukan oleh umat Islam sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka bagi yang berkemampuan dan berkuasa. Haji adalah satu demonstrasi perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan Muslim serta penyerahan jiwa kepada Allah.

Penziarahan ini dilakukan pada 8 hingga 12 hari bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam takwim Islam. Disebabkan takwim tersebut merupakan kalendar qamari dan ia mengandungi 11 hari kurang berbanding kalendar Gregory, maka hari pelaksanaan haji mengikut tarikh Gregory sering berubah dari tahun ke tahun.



(Majlis Tahlil dan Doa Selamat sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah)


Perkataan "haji" berasal daripada bahasa Arab iaitu hajj (حج) yang membawa maksud ziarah ke tempat tertentu dalam waktu yang lama untuk menunaikan kewajipan agama. Dari segi syarak pula, ia membawa maksud mengunjungi rumah Allah dalam bulan-bulan haji atas sebab melakukan pekerjaan seperti wukuf di Arafah, tawaf, sa'i dan sebagainya menurut syarat-syarat dan rukun-rukun tertentu dengan niat semata-mata kerana Allah.



Terdapat beberapa dalil mengenai ibadah haji. Antaranya adalah seperti dalam ayat ke-27, Surah al-Hajj dan ayat ke-97, Surah Ali Imran:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

— Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh (seluruh dunia)

وَلِلهِ عَلَى ﭐلنَّاسِ حِجُّ ﭐلْبَيْتِ مَنِ ﭐسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً ج وَمَن كَفَرَ فإِنَّ ﭐللهَ غَنِىٌّ عَنِ ﭐلْعَٰلَمِينَ

— Dan Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadah haji dengan mengunjungi rumah Allah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya daripada sekalian alam.


(Kesempatan bergambar dengan keluarga)


Sejarah Haji diriwayatkan, selepas kelahiran Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim dan isterinya, Siti Hajar, baginda dan ibunya telah dibawa ke sebuah kawasan padang pasir gersang dan kosong di tengah-tengah Semenanjung Arab. Hajar telah mengikuti suaminya dan berkata, "Oh, Ibrahim, ke manakah kamu hendak pergi, meninggalkan kami di lembah yang tiada orang ini dan tiada peneman dan tiada apa-apa disini?". Beliau mengulangi kenyataan tersebut dan akhirnya beliau bertanya adakah ini semua adalah suruhan Allah. Lalu Nabi Ibrahim mengiyakannya dan meninggalkan mereka berdua di situ dengan hati yang berat. Lalu baginda berdoa seperti yang tercatat dalam ayat ke-37, surah Ibrahim iaitu:

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

— Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah tempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Makkah) yang tiada padanya tanaman, disisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dan pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.



(Khemah yang disediakan khas untuk jemaah Wirasaujana)

Setelah berada di kawasan itu untuk beberapa ketika, Hajar dan Nabi Ismail telah kehabisan makanan dan minuman. Kemudian, Hajar telah lari berulang-alik daribukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali untuk mencarinya. Perbuatan beliau menjadi simbolik kepada ibadah sa'i yang dilakukan dalam haji. Dalam keadaan terdesak itu, beliau berdoa kepada Allah. Nabi Ismail kemudiannya menangis dan menghentak-hentak kakinya ke tanah lalu terpancutlah air dari bawah tanah (sesetengah versi mengatakan malaikat telah menggali kawasan air tersebut dengan kakinya (atau sayapnya) dan keluarlah air itu). Perisitiwa itu menandakan kemunculan telaga Zam-zam seperti yang dilihat pada hari ini.

 (Berpakaian Ihram)

Syarat-syarat Haji mengikut Mazhab Syafie

1. Islam: Orang kafir tidak wajib mengerjakan Haji malah tidak sah ibadat Haji yang mereka kerjakan.
2. Merdeka: Hamba tidak wajib mengerjakan Haji.
3. Mukallaf.
4. Berkemampuan dengan syarat:
Berkuasa membayar segala perbelanjaan bagi mengerjakan ibadat Haji sehingga selesai dan kembali ke tanah air.
Ada kenderaan pergi dan balik.
Disyaratkan mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya.
Tidak mengalami kesulitan teruk semasa berada di dalam kenderaan.
Aman perjalanan.

Manakala bagi perempuan pula ditambah: Terdapat kawan perempuan berserta wanita Islam yang boleh dipercayai.


(Bersama ahli keluarga)

Jenis-jenis Haji

Ibadat Haji terbahagi kepada beberapa jenis seperti yang dipersetujui oleh ulamak, iaitu:-
1. Haji Tamattuk
2. Haji Qiran
3. Haji Ifrad
4. Umrah


(Keluarga dibenarkan bersama Jemaah sehingga jam 9 malam)


SYUKUR ALHAMDULILLAH

Comments

Popular Posts